Dimopnya kotoran yang di bawa tapak kaki
pengunjung tempat dia berkerja.
Sekali lagi.
Lagi sekali di tempat yang sama, bukan sekali
malahan berulang kali.
Tanpa jemu walaupun penat kerana ia memang
kerjanya. Yang melalui tempat itu hanya memandang dan tidak
terlepas juga yang berkata,
“Kerja dia! Dah di bayar gaji kenalah di
buat, hendak kesian buat apa!”.
Bicara kalam nur kali ini berkisar mengenai 'our society'. Kisah masyarakat kita dan perangainya. Situasi
yang diperihalkan tadi merupakan situasi yang dianggap biasa malahan telah menjadi ‘Tabiat’ masyarakat kita di dunia yang makin
sampai ke muara-NYA. Situasi yang terlihat oleh empat mata saya sendiri. Dari
sudut pandang sepintas lalu, memang suara hati kita mengatakan “Itu kerja dia, dia kan dibayar gaji untuk
buat kerja itu, biarlah kita nak buang ke, nak lalu ke, kenalah dia kutip dan
mop!”. Namun cuba kita menjengah ke lubuk hati membawa bersama dengan rasa simpati
berulamkan empati. Lihat ke daerah rasa ‘kemanusiaan’. Tiap kita memikul ‘tanggungjawab’.
Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Seorang lelaki melalui sebatang jalan dan
ternampak ranting pokok yang berduri lalu dialihkannya ke tepi. Maka Allah
melimpahkan kasihnya kepada lelaki itu dan diberikan keampunan ke atasnya.”
(Sahih al-Bukhari)
Sayangnya kisah ini tidak dijadikan ibrah, nilai
dalam kisah ini tidak digerakkan oleh kita secara praktiknya.
Kita makin jauh dari rasa itu,
Kita makin meninggalkannya,
Kita rasa selesa walaupun di tepi kita ada yang
menderita,
Kita makin merenggang, jaringan ukhuwah kita makin
mengurang,
Kita kata itu bukan kerja kita, itu kerja dia!
Dia kata dia, dia kata dia tu, dia tu kata bukan
aku!
Jadi, siapa? Siapa punya tanggungjawab?
Masing-masing memandang, lalu menunding jari!
Jawapannya
“Sebenarnya Kita Sedang Sakit”....
SAKIT JIWA
Sakit jiwa yang saya maksudkan bukanlah bermakna
sakit ‘mental’ tetapi sakit jiwa disini bererti sakit jiwa ‘kemanusiaan’. Ia
memang kita manusia, namun jiwa kemanusiaan kita makin hari makin menjauh dari
diri kita. Ramai orang sekarang hidup hanya mementingkan diri mereka sendiri tanpa
punya rasa kebersamaan. Tidak lagi mengira susah mahupun penderitaan orang lain
asalkan mereka hidup senang , bahagia, hal orang lain tidak diambil peduli.
“Ada aku kisah”!!!
Sikap ini telah menerobos masuk ke jiwa manusia hari ini.
“Cubit peha kiri, peha kanan terasa juga” Tidak lagi
menjadi pegangan, hanya siulan.
SAKIT HATI
Sakit ini yang
paling berat lagi memberatkan manusia yang memilikinya. Setiap apa yang
dilakukan oleh orang lain tidak pernah baik atau elok dipandangan manusia jenis
ini. Hatinya sentiasa sakit melihat orang lain lebih daripada dirinya sedangkan
empunya diri masih ditakuk itu juga. Menyibukkan diri membuka keaiban orang
lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.Tidak bersaing secara sihat, tetapi mencari salah orang untuk
menampakkan kelebihan diri.
“Bos
nak tahu, si Minah, dia di belakang bos bukannya buat kerja tapi disuruhnya Ali
buat, ini semua hasil kerja Ali bukannya si Minah itu” . Sakit hati yang penuh perasaan hasad dengki
manusia sekarang.
Manusia yang punya sakit begini selalunya bukan
mahukan sangat apa yang dimiliki orang yang didengkinya itu, tetapi kerana
sikapnya yang angkuh, ego tidak mengakui kekurangan diri menyebabkan manusia
jenis ini tidak mahu orang lain melebihi dirinya.
“Kalau aku tidak dapat,
orang lain jangan harap boleh dapat!”.
“Biar sama-sama berputih mata”,
Asalkan dihati rasa bahagia,
Biarlah orang lain tidak dapat merasa”.
Memugar sikap “SAKIT HATI” begini pada masyarakat
kini.
SAKIT FIZIKAL
Luka di dahi , lecur di jari, patah di kaki,
berdarah sana-sini.
Itu antara sakit fizikal yang kita nampak.
Berlainan sakit yang ingin saya ketengahkan iaitu sakit “perilaku”.
Perilaku diri tanpa diawasi atau dikendalikan akan menjadi sangat liar dan
berpotensi menghilangkan diri sejati seseorang.
Perilaku manusia sekarang tidak lagi sejajar
dengan nilai-nilai Islam dan tujuan kita dihidupkan.
Sekadar nama sahaja Islam dan lahirnya dengan
Islam tetapi perilaku tidak seperti yang disyariatkan Islam.
Nama: A bin B
Agama : Islam
Hobi : Clubbing
Pegangan hidup : Kebebasan / freedom
Bila
nilai-nilai pilihan hidup begini sudah menjadi dasar kepada perilaku kehidupan
sehari-hari, maka apa pun situasi
kehidupan, pastinya kita akan selalu bertindak sesuai dengan apa yang paling
penting dan berharga bagi diri pada saat itu berdasarkan nilai-nilai kehidupan
yang dipilih.
Pilih hanya
dunia, tolak akhirat. Meranalah diri semasa diadili nanti.
Pilih akhirat,
tolak dunia. Bukan zuhud yang sebenar-benarnya.
Dunia dilalui
sebagai bekalan buat akhirat. Inilah keseimbangan yang dicari menuju Ilahi.
Daripada Ibn
Umar, katanya: Rasulullah memegang bahuku, lalu Baginda bersabda:
“Hendaklah engkau berada dalam dunia
seolah-olah engkau adalah orang yang berdagang atau orang yang sedang melalui
di jalan (pengembara). Jika engkau berada pada waktu petang, maka janganlah
engkau menunggu waktu pagi, dan apabila engkau berada pada waktu pagi, maka
janganlah engkau menunggu waktu petang. Dan gunakanlah masa sihat engkau untuk
masa sakit dan masa hidup untuk masa mati engkau."
(Hadis riwayat Bukhari).
Bagi pemilik yang sakit jiwa sedarlah kita bahawa,
Seluruh
manusia bagi Islam sama,
Orang Arab
tidak lebih mulia dari yang lain,
Orang Persia
tidak lebih mulia dari orang Arab,
Si Kulit Putih
pun tak lebih mulia dari si Kulit Hitam,
Tidak pula
sebaliknya,
Kecuali atas
darjat taqwa serta kebajikan terhadap sesamanya.
Setiap jiwa
layak dihargai dan tidak boleh dihilangkan secara semena-mena. Islam mengatur
bagaimana menghargai jiwa manusia tidak kiralah pada masa damai mahupun
peperangan.
Buat yang hatinya sakit,
Hidupkan hati dengan tiga perkara iaitu:
1-Zuhud dengan dunia.
2-Zikrullah.
3-Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.
Buat yang sakit perilakunya,
Masuklah ke dalam Islam secara Kaffah.
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu
ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah
setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu.Tetapi jika kamu
menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran,
maka ketahuilah, bahwasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.
(Surah al- Baqarah : 208-209 ).
Menyelusuri
apa yang saya tulis ini, ingin sekali
saya lontarkan pertanyaan ini sekali lagi,
Bukankah kita sedang sakit?
ADUH!
Ya,tiap kita sebenarnya sedang sakit!
Kalam nur
nov 2012


0 ulasan:
Post a Comment