Breaking News
Loading...
Monday, March 25, 2013

Info Post



Akhlak berasal dari kata “akhlaq” yang merupakan jama’ dari “khulqu” dari bahasa Arab yang ertinya perangai, budi, tabiat dan adab. Akhlak itu terbagi dua iaitu Akhlak yang Mulia atau Akhlak yang Terpuji (Al-Akhlakul Mahmudah) dan Akhlak yang Buruk atau Akhlak yang Tercela (Al-Ahklakul Mazmumah).

Akhlak yang mulia, menurut Imam Ghazali ada 4 perkara; iaitu bijaksana, memelihara diri dari sesuatu yang tidak baik, keberanian (menundukkan kekuatan hawa nafsu) dan bersifat adil. Jelasnya, ia merangkumi sifat-sifat seperti berbakti pada keluarga dan negara, hidup bermasyarakat dan bersilaturahim, berani mempertahankan agama, senantiasa bersyukur dan berterima kasih, sabar dan redha dengan kesengsaraan, berbicara benar dan sebagainya. Masyarakat dan bangsa yang memiliki akhlak mulia adalah penggerak ke arah pembinaan tamadun dan kejayaan yang diredhai oleh Allah SWT. Seperti kata pepatah seorang penyair Mesir, Syauqi Bei:

 "Hanya saja bangsa itu kekal selama berakhlak. Bila akhlaknya telah lenyap, maka lenyap pulalah bangsa itu".   

Akhlak yang mulia yaitu akhlak yang diredhai oleh Allah SWT , akhlak yang baik itu dapat diwujudkan dengan mendekatkan diri kita kepada Allah iaitu dengan mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan semua larangannya, mengikuti ajaran-ajaran dari sunnah Rasulullah SAW, mencegah diri kita untuk mendekati yang ma’ruf dan menjauhi yang munkar, seperti firman Allah SWT ;

“Kamu adalah umat yang terbaik untuk manusia, menuju kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah”
(terjemahan Surah Al-Imran, ayat 110)

Akhlak yang buruk itu berasal dari penyakit hati yang keji seperti iri hati, ujub, dengki, sombong, nifaq (munafik), hasud, suudzaan (berprasangka buruk), dan penyakit-penyakit hati yang lainnya, akhlak yang buruk dapat mengakibatkan berbagai macam kerusakan baik bagi orang itu sendiri, orang lain yang di sekitarnya maupun kerusakan lingkungan sekitarnya sebagai contohnya yakni kegagalan dalam membentuk masyarakat yang berakhlak mulia samalah seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini, sebagai mana firman Allah SWT dalam Surat Ar-Ruum ayat 41 yang bererti: "Telah timbul pelbagai kerusakan dan bencana alam di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya yang demikian) karena Allah hendak merusakan mereka sebagai dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

Mungkin banyak di antara kita kurang memperhatikan masalah akhlak. Di suatu sisi kita mengutamakan tauhid yang memang merupakan perkara utama atau pokok dalam agama yang kita berupaya menelaah dan mempelajarinya, namun di sisi lain dalam masalah akhlak kurang diberikan perhatian. Sehingga tidak dapat disalahkan apabila kedengaran kata-kata masyarakat kini, seperti, “Sudah pandai agama tetapi tidak hormat pada orang tua.” atau kata-kata seperti ini “Dia ini agamanya bagus tetapi jiran tetangga di sekililing tidak dipedulikan”, dan lain-lain kata-kata yang sering kita dengar.

Kata-kata seperti ini ataupun yang semisal dengan ini menjadi virus yang boleh merosakkan umat Islam keseluruhannya. Islam bukanlah agama yang mengabaikan akhlak, bahkan islam mementingkan akhlak. Yang perlu diingat bahawa tauhid sebagai perkara pokok dalam Islam yang memang seharusnya kita utamakan, namun tidak bererti kita mengabaikan perkara penyempurnaannya, dan akhlak mempunyai hubungan yang erat. Tauhid merupakan realisasi akhlak seorang hamba terhadap Allah dan ini merupakan pokok inti akhlak seorang hamba. Seorang yang bertauhid dan baik akhlaknya bererti ia adalah sebaik-baik manusia. Semakin sempurna tauhid seseorang maka semakin baik akhlaknya, dan sebaliknya bila seorang muwahhid memiliki akhlak yang buruk bererti lemah tauhidnya.

Islam telah mengingatkan kepada umatnya mengenai pentingnya memelihara akhlak  dan mengamalkan nilai-nilai mulia dalam kehidupan seharian kita dan sebagai hamba yang taat kepada perintah Allah s.w.t., sama sekali kita tidak dibenarkan melakukan sebarang kemungkaran, kemaksiatan, kekejian dan seumpamanya kerana ia merupakan satu tegahan yang nyata.


RASULULLAH S.A.W USWATUN HASANAH

Semua umat Islam diseluruh dunia mengakui dan mempercayai bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah utusan Allah s.w.t. yang diutuskan untuk membawa kerahmatan kepada seluruh umat di dunia sehingga akhir zaman. Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quran surah al-Anbiyaa’ ayat 107 iaitu :
 " Dan tidaklah kami mengutuskan engkau( wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat bagi sekalian alam " 

Nabi Muhammad S.A.W, rasul kita yang mulia mendapat pujian Allah kerana ketinggian akhlak beliau sebagaimana firman Allah ;
 " Dan bahawa sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia ” .  
( Surah Al-Qalam, ayat  4)

Bahkan Baginda sendiri menegaskan bahawa kedatangannya adalah untuk menyempurnakan akhlak yang ada pada diri manusia, “Hanyalah aku diutus (oleh Allah) untuk menyempurnakan akhlak.” (HR.Ahmad). Isteri Baginda iaitu Ummul Mu’minin Saidatina Aisyah r.a. pernah ditanya, mengenai akhlak Baginda s.a.w, maka Saidatina Aisyah menjawab dengan katanya, akhlak Baginda adalah Al-Quran.  

Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu seorang sahabat yang mulia menyatakan: “Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam adalah manusia yang paling baik budi pekertinya.” (HR.Bukhari dan Muslim). Dalam hadits lain Anas memuji Baginda S.A.W: “Belum pernah saya menyentuh sutera yang tebal atau tipis lebih halus dari tangan Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam. Saya juga belum pernah mencium bau yang lebih wangi dari bau Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam. Selama sepuluh tahun saya melayani Rasulullah shalallahu ‘alahi wa sallam, belum pernah saya dibentak atau ditegur perbuatan saya : mengapa engkau berbuat ini ? atau mengapa engkau tidak mengerjakan itu ?” (HR. Bukhari dan Muslim).

Akhlak merupakan tolak ukur kesempurnaan iman seorang hamba sebagaimana telah disabdakan oleh Rasulullah S.A.W; “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya.” (HR Tirmidzi, dari abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, diriwayatkan juga oleh Ahmad). Dalam riwayat Bukhari dan Muslim dari Abdillah bin amr bin Al ‘Ash radhiallahu ‘anhuma disebutkan : “Sesungguhnya sebaik-baik kalian ialah yang terbaik akhlaknya.”

Akhlak dan sirah perjalanan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w  adalah sebagai contoh teladan yang dapat mendidik diri dan peribadi Muslim agar sentiasa beriman dan bertakwa,  Ini kerana setiap perkataan, perbuatan, pengakuan dan tingkah laku Baginda mengandungi hikmat dan sebagai huraian kepada prinsip-prinsip yang terkandung didalam Al-Quran . maka sudah tentu, setiap perkataan dan tindakan kita yang berpandukan akhlak dan sirah perjalanan Baginda, tidak akan terpesong atau tersasar dari landasan agama dan tuntutan syariat . 
 
Next
This is the most recent post.
Older Post

0 ulasan:

Post a Comment