Kenangan
mewarnai sisi kehidupan yang penuh rencam ini.
“Dari
belajar dari yang tahu untuk mengajar kepada yang tidak tahu". Itu semua
saya lalui demi bergelar seorang pendidik.
Karya
ini dihasilkan lama sudah, tika itu saya masih di awal pengajian. Atas tuntutan
salah satu subjek yang saya ikuti, maka terhasillah karya ini bagi menjawab
soalan tugasan yang diberi. Terimalah “Sesuci Kasihmu Guru”
Suasana pagi yang dingin dan nyaman itu diceriakan dengan
bunyi hilai tawa pelajar-pelajar tingkatan empat Cempaka. Masing-masing sibuk
berbual dan berceloteh tanpa menyedari waktu yang semakin berlalu. Di satu
sudut kelas, kelihatan dua orang pelajar sedang asyik membincangkan sesuatu
topik yang kelihatannya amat menarik.
“
Farhan,aku dengar hari ni ada guru baru nak datang,” ujar Sopi. Matanya galak
memerhatikan wajah sahabatnya yang sedang asyik membelek majalah Ujang. Farhan
mengalihkan pandangannya ke arah Sopi.
“ Apa kau kata,guru baru? Apa kena
mengenanya antara guru baru dengan aku pulak?” keningnya sengaja dikerutkan.
Pandangannya segera dialihkan kembali meneruskan pembacaannya yang tergendala
sebentar tadi.
“
Alah engkau ni,takkan itu pun aku nak ajar. Takkan tak ada rancangan menarik
kot?” Sopi semakin asyik menambah. Harapannya,moga-moga Farhan memiliki idea
yang menarik dan mengancam. Dia sudah semakin tidak sabar, sudah sekian lama
mereka tidak mengenakan guru-guru baru. Masih segar dan jelas dalam ingatannya
sewaktu mereka mengenakan Cikgu Mosyirah tahun lepas. Kebetulan pula Cikgu
Mosyirah merupakan seorang yang kuat melatah. Habis bingit satu kelas mendengar
beliau melatah kerana terkejut dengan ular plastik yang Farhan letak di dalam
laci meja guru.
“Maaflah ya,tiada rancangan kali ni, Sopi,” ujar Farhan. Entah mengapa
pada hari itu dia tidak berminat untuk mengenakan guru baru yang akan hadir sebentar
lagi. Emosinya sedikit terganggu pada hari itu.
Tiba-tiba sewaktu sedang asyik menatap majalah Ujang tersebut satu
kelibat berpakaian biru menjengah di hadapannya. “Alamak, budak ni lagi.
Asyik-asyik muka dia aje,jemu sungguh”, getus hati Farhan. Perlahan- lahan
mukanya diangkat ke atas. Bersedia untuk menerima tikaman tajam pandangan mata
si gadis berbaju biru.
Roshaniza tersenyum menyindir. Tangannya dihulurkan ke arah majalah Ujang
tersebut. Dengan berat hati dan kecewa, Farhan menyerahkan majalah tersebut
yang baru sahaja dibeli. Baca pun belum habis.
“
Berapa kali awak nak saya pesan? Majalah macam ni tak boleh dibawa ke sekolah.
Faham atau tak?!” soal Roshaniza. Ligat tangannya mencatat nama Farhan di dalam
buku nota kecilnya. Farhan hanya membisu seribu bahasa. Terasa mukanya bagai
ditampar kulit lembu. Roshaniza menyambung lagi, “Awak tu,sudahlah runcing
tanduk berbelang kening, belum sampai lagi ke masa untuk awak insaf,Farhan?
Farhan mendengus kasar. Bingkas dia bangun lalu berlalu pergi tanpa
menghiraukan kata-kata yang baru sahaja diluahkan oleh Roshaniza. Kerusi yang
tadinya diduduki sudah melayang ditendang tanda protes tidak puas hati.
Roshaniza hanya menggelengkan kepalanya. “Bilalah engkau nak insaf,” getus
hatinya. Pantas dia kembali ke mejanya. Sebentar lagi sesi pembelajaran akan
bermula. Dia perlu bersedia dengan segera.
*********************************************
Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi derapan tapak
kaki di luar kelas.
“
Bangun!” kedengaran laungan Razif selaku ketua tingkatan memecah kebingitan
sebaik sahaja Cikgu Syahran melangkah masuk ke kelas. Kelihatan seorang guru
baru mengekorinya dari arah belakang. Semua murid yang tadi bising telah senyap
dan kembali ke tempat masing-masing apabila ternampak muka Cikgu Syahran. Cikgu
Syahran merupakan Cikgu Fizik mereka yang paling tidak disukai kerana dia
terkenal dengan sikapnya yang tegas dan garang itu. Nahaslah kalau ada sesiapa
yang buat salah. Habis dimarahi olehnya. Mujurlah tiga hari yang lepas kami
menerima khabar berita gembira bahawa beliau tidak akan lagi mengajar kami
kerana beliau bakal dinaikkan pangkat.
“
Selamat pagi, cikgu!”
“
Selamat pagi. Awak semua boleh duduk,” ujar Cikgu Syahran. Semua pelajar mula
duduk namun pada masa yang sama mata masing-masing asyik memerhatikan guru baru
yang sedang berdiri di hadapan kelas.
“
Pada hari ini kita telah menerima seorang guru baru yang akan menggantikan
saya. Jadi, saya akan tinggalkan kamu semua dengan cikgu baru kamu ini. Sila
berikan kerjasama yang sepatutnya kepada beliau. Faham kelas?!”
“ Faham cikgu!” penuh bersemangat satu kelas
menjawab dengan serentak.
“ Jadi cikgu,saya minta diri dahulu,” ujar Cikgu
Syahran sambil melangkah keluar kelas. guru baru tadi hanya mengangguk.
Sopi menepuk bahu Farhan dari arah belakang. Bibirnya
dirapatkan ke telinga rakannya itu.
“ Cantik
juga cikgu baru ni,” ujarnya sambil ketawa perlahan. Farhan hanya mengangkat
bahu. Matanya asyik menatap wajah ayu guru tersebut.
“ Baiklah
kelas,nama cikgu ialah Nadia bt. Mohamad. Kamu semua boleh panggil saya Cikgu
Nadia. Saya dilahirkan di Ipoh, Perak. Sekarang menetap di Taman Ampang Jaya.
Itu sahaja yang cikgu rasa.
Ada apa-apa soalan?”
ujar Cikgu Nadia membuka peluang.
Kelihatan seorang pelajar mengangkat tangan.
“Status?”
“Owh,”
muka Cikgu Nadia kemerah-merahan sebaik sahaja disoal sedemikian. “ Cikgu
masih lagi bujang.” Serentak dengan itu,kedengaran bunyi siulan dari arah belakang
kelas, diikuti dengan bunyi gelak tawa.
“Ok kelas!
seperti biasa,kita akan mengadakan sesi perkenalan. Macam biasa,kamu semua
memang tak mahu belajarkan?”
“ Ya!”
cepat-cepat satu kelas menjawab.
“
Baiklah,sila bagitahu saya nama kamu,tinggal di mana, bilangan adik-beradik dan
cita-cita kamu. Boleh mula dari pelajar yang dihujung sana,” kata Cikgu Nadia
sambil tangannya ditunjukkan ke arah pelajar yang duduk di tepi sisi kanan
sekali.
**********************************************************************
Hari ini
pagi-pagi lagi merupakan waktu subjek Fizik. Kelas 4 Cempaka telah telah dibawa
memasuki makmal untuk menjalankan eksperimen. Semua tidak sabar untuk mengikuti
kelas Cikgu Nadia. Cikgu Nadia merupakan seorang guru yang baik dan sentiasa
mendengar pendapat para pelajarnya. Sejak belajar dengannya, pelajar-pelajar
lebih banyak berada di makmal untuk menjalankan eksperimen. Cikgu Nadia lebih
menekankan amali dari teori yang membosankan.
“Ok semua pelajar lihat sini, arah cikgu Nadia sambil
menunjukkan tangannya ke arah tabung uji yang berisi air tersebut”.
Semua mata menumpukan perhatian ke arah Cikgu Nadia.
Cikgu Nadia menerangkan dan mendemostrasi langkah-langkah eksperimen satu-persatu
mengikut turutan supaya mudah untuk para pelajarnya nanti mengikuti langkah
yang sama.
“Baiklah, semua dah fahamkan bagaimana hendak jalankan
eksperimen inikan?”, soal Cikgu Nadia dengan nada suara sedikit ditegaskan.
“Cikgu hendak setiap kumpulan menjalankan eksperimen ini mengikut langkah yang
telah cikgu tunjukkan tadi”.
Setiap kumpulan memulakan eksperimen yang diberi dengan
bersungguh-sungguh. Cikgu Nadia telah meninjau dari meja ke meja untuk
memberikan bimbingan. Ini penting supaya para pelajarnya tidak membuat
kesilapan yang boleh membahayakan diri para pelajarnya sepanjang eksperimen
dijalankan.
“Cikgu…cikgu, betul ke tak paras air yang kami sukat ini?
soal Azam sambil mengangkat silinder penyukat.
“Betul sukatan
awak itu Azam, Choong dan Saiful. Itu yang cikgu mahukan”, kata Cikgu Nadia
sambil tersenyum.
“Cikgu nak semua duduk di tempat masing-masing”. “Sebelum
kamu semua meninggalkan makmal ini, cikgu nak menerangkan sikit tentang topik
yang kita akan pelajari pada kelas yang akan datang”. Cikgu akan mengajar
tentang tenaga solar”. “Azam, mari sini. Ambil kertas ini dan edarkan kepada
pelajar lain”, arah Cikgu Nadia.
Tanpa berlengah Azam mengedarkan kertas yang diberi oleh
cikgu kepada rakan-rakan yang lain. “Baiklah, semua dah dapatkan kertas tadi?.
“Cikgu nak awak baca maklumat tentang tenaga supaya bila cikgu mengajar tentang
tenaga Solar awak akan mudah faham”. Boleh semua?”, soal Cikgu Nadia. “Boleh
cikgu”, jawab semua pelajar secara serentak.
Setelah lima
bulan berlalu, para pelajar ternyata senang dengan kehadiran Cikgu Nadia, Cara
pengajarannya cukup berbeza dengan pendekatan yang digunakan oleh Cikgu
Syahran. Cuma Farhan sahaja yang masih tidak dapat menerima kehadiran Cikgu Nadia.
Dia menganggap Cikgu Nadia mendikriminasi dan sengaja ingin mengenakannya.
Sementalah dia antara pelajar yang paling lemah dalam subjek Fizik di dalam
kelas itu.
“ Aku
memang tak puas hati sungguh dengan Cikgu Nadia. Sakit gila hati aku tau tak?!”
ujar Farhan kepada Sopi tatkala mereka sedang makan di kantin. Sopi yang sedang
gelojoh menyumbat nasi lemak berhenti seketika. Dia menoleh ke arah Farhan yang
kelihatan marah benar.
“ Apa
yang tak kena lagi ni?” tanya Sopi. Pelik sungguh dia dengan perangai Farhan.
Setahunya,Cikgu Nadia tidak melakukan apa-apa yang salah pun. Tak pernah
merotan pun mereka. Jadi apa yang hendak dimarahkan sangat.
“ Kau
tanya kenapa?! Ada ke patut dia bagi aku kerja rumah Fizik bermuka-muka? Bukan
dia tak tahu yang aku ni lemah dalam pelajaran tu,” balas Farhan berang.
Nafasnya mendengus kencang. Dahi Sopi berkerut.
“
Betullah tu”, jawab Sopi dengan selamba. Kan kau tak pandai, jadi baik apa dia
bagi kau latihan banyak-banyak. Nanti dapatlah kau jadi bijak.”
“ Ewah,sejak bila pulak kau jadi malaikat ni hah?! Tanya
Farhan kasar. Entah mengapa dia berasa berang dengan sikap Sopi yang endah
tidak endah sahaja. Bingkas dia bangun berlalu dari kantin meninggalkan Sopi
yang terpinga-pinga. “Marah pula,” getus Sopi. Tangannya kembali menyuap
lebihan nasi lemak yang masih bersisa.
“KRINGG!!”
Bunyi loceng
sekolah menandakan waktu rehat sudah tamat bergema.
Kelihatan para pelajar berpusu-pusu meninggalkan kantin
menuju ke arah kelas masing-masing. Sopi tidak ketinggalan sama menuju ke arah
makmal di tingkat tiga. Matanya menangkap kelibat Farhan yang sedang termenung
di mejanya. Senyuman terukir di bibir Sopi dan cepat-cepat dia melangkah ke
meja rakannya itu.
“
Hai,tak sejuk-sejuk lagi ke?” tegurnya. Kerusi di sebelah Farhan ditarik untuk
dilabuhkan punggungnya. Farhan hanya mendengus. Sopi menggeleng. Dia
mengeluarkan buku teks Fizik lalu meletakkannya di atas meja. Sebentar lagi
Cikgu Nadia akan masuk mengajar. Sambil itu, matanya sempat menangkap jelingan
anak mata Farhan yang sedang asyik merenung pengawas ‘cute’ yang garang di
kelas mereka, Roshaniza.
“ Aku
ingatkan kau tengah mengamuk,layan awek cantik rupanya,” ujar Sopi diikuti
gelak tawanya yang galak. Farhan tersipu-sipu malu. “Alamak,macam mana kau
boleh perasan”, ujar Farhan. “Tahulah aku”, jawab Sopi sambil ketawa. Namun tawa
Sohia padam secara tiba-tiba sebaik sahaja Cikgu Nadia melangkah masuk. Secara
tiba-tiba,hati Farhan kembali menjadi panas.
“Farhan, sila hantar kerja yang saya minta awak siapkan semalam,” arah
Cikgu Nadia sambil memandang ke arah Farhan. Farhan menjeling tajam wajah
gurunya. Entah mengapa.benci benar dia mendengar suara lunak tersebut. Buku
latihan di bawah mejanya diambil. Perlahan-lahan dia bangun melangkah menuju
meja guru di hadapan kelas.buku tersebut sengaja dihempas kuat. Cikgu Nadia
sedikit tersentak.
“Cikgu
sengaja bagi saya latihan banyak macam ni!” tengking Farhan. Kemarahannya tidak
dapat dibendung lagi. Cikgu Nadia hanya memandang tenang wajah anak muda di
hadapannya.
“Cikgu tahu
tak,selama lima bulan cikgu mengajar di sini,saya langsung tak suka!” tubuhnya
menggigil menahan nafsu amarah yang sdang menguasai dirinya. Puas rasa hatinya
dapat memalukan Cikgu Nadia di hadapan semua rakannya. Roshaniza pantas bangun.
“Farhan, kurang ajar betullah awak ni!”
“Roshaniza,tak
apa. Awak duduk dulu,” kedengaran tenang kalimat tersebut meluncur keluar. Perlahan-lahan
Cikgu Nadia bangun. Langkah kakinya di atur menuju keluar kelas. Farhan
tersenyum riang tanda kemenangannya yang pertama. Dia pantas kembali ke
mejanya. Biarlah apa orang kata,asalkan hatinya senang.
*********************************************************************
Semenjak dari kejadian itu, Farhan langsung tidak pernah
melihat Cikgu Nadia. Khabarnya dia sudah dia bercuti tidak diketahui kenapa.
Ada yang mengatakan Cikgu Nadia sakit dan macam-macam lagi khabar angin. Namun
Farhan tidak peduli. Semenjak Cikgu Nadia tiada di sekolah tersebut, hatinya
terasa tenang sekali. Bagaikan hilang satu bebanan yang berat di kepalanya.
Namun, satu kejadian aneh menimpa dirinya. Setiap hari,
ada sahaja satu set latihan Fizik di bawah mejanya. Pada mulanya dia menganggap
itu merupakan set latihan rakan-rakannya yang tersalah letak. Namun semakin
hari, set latihan tersebut semakin banyak. Entah mengapa, dia begitu tertarik
untuk menjawab semua soalan latihan tersebut.
Hari
demi hari,berkat set latihan yang berada di bawah mejanya itu, Farhan menjadi
pelajar yang paling pintar dalam mata pelajaran Fizik. Set latihan misteri itu
sentiasa ada sehinggalah pada suatu hari, tatkala Farhan sedang menyelongkar
laci mejanya untuk mencari set latihan yang terkini, dia menjumpai sepucuk
sampul suratyang sudah agak kusam. Hatinya mula berdebar. Siapakah yang
meletakkan suratdi bawah mejanya? Perlahan-lahan surat kusam itu dibuka.
Ke hadapan anak muridku
Farhan,
Semoga sihat
dan bahagia selalu. Masih ingat lagi pada satu nama yang pernah Farhan benci,Cikgu Nadia? Cikgu yang suatu ketika dahulu pernah Farhan
marahi?Jika Farhan masih mengingati cikgu, cikgu sangat gembira. Walaupun Farhan mengingati cikgu kerana membenci
cikgu, sekurang-kurangnya Farhan tidak memadam memori yang cikgu pernah hadir
mengajar Farhan.
Tujuan cikgu mengirim surat ini
hanyalah sekadar untuk bertanya khabar tentang Farhan. Farhan mesti
tertanya-tanya tentang set latihan yang ada di bawah meja Farhankan? Set
latihan itu cikgu bagi khusus untuk anak murid cikgu yang telah memberikan
cikgu satu pengalaman yang amat berharga sebagai seorang guru. Cikgu
harap,walaupun Farhan membenci cikgu,janganlah Farhan membenci subjek Fizik.
Jangan kerana marahkan nyamuk,habis kelambu dibakar. Cikgu harap Farhan dapat
memanfaatkan set latihan tersebut.
Tentang apa yang Farhan lakukan
pada cikgu dahulu,cikgu sudah maafkan. Janganlah Farhan menyalahkan diri.
Semuanya telah ditakdirkan oleh tuhan, Farhan. Sakit barah yang cikgu alami
semakin tenat tanpa cikgu sedari. Selepas cikgu keluar dari kelas pada hari
itu,cikgu telah jatuh pengsan di hadapan kantin. Nasib baiklah ada Cikgu
Mazlin. Dialah yang telah menghantar cikgu pergi ke klinik. Sehinggalah sekarang,cikgu
sedang menjalani rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur. Doakan agar cikgu
diberikan peluang untuk sembuh dan menghirup udara kurniaan Tuhan ini lebih lama. Kalau
boleh,cikgu ingin mengajar kamu buat kali yang kedua.
Salam sayang,
Cikgu Nadia
Farhan melipat helaian kertas tersebut. Entah mengapa,matanya terasa
panas. Hatinya terasa seolah-olah ditikam sembilu bisa. Air hangat mengalir
perlahan menuruni pipinya.
“ Sekarang baru awak sedar,” ujar Roshaniza
dari belakang. Farhan berpaling.
“
Hingga ke hembusan nafas yang terakhir, cikgu Nadia masih menyebut nama awak.
Lihatlah betapa sucinya kasih dan mulianya pengorbanan seorang guru,” tambah
Roshaniza.
Kelihatan genangan air mata di pelupuk matanya. Farhan
tunduk memandang lantai. Hari itu,hancur egonya yang selama ini tinggi
menggunung. Maafkan saya cikgu, getus hatinya. Berikan saya peluang kedua. Saya
ingin cikgu ajar saya sampai saya pandai. Cikgu!!! Hatinya merintih. Namun
Farhan sedar,waktu tidak akan berulang kembali. Apa yang pasti,sudah tiada lagi
insan yang bergelar Cikgu Nadia. Maafkan muridmu ini, Cikgu Nadia. Farhan jatuh
berlutut. Mukanya diraup perlahan serentak dengan deraian air mata lelakinya.
Cikgu!!!.
Kalam Nur, 2012

0 ulasan:
Post a Comment